
| Singapura : 6 Jun 2008 | | |
SEORANG bapa berusia 46 tahun meninggal dunia akibat diserang penyakit jantung ketika bermain bola sepak malam kelmarin.
Allahyarham Yussof Ishak, seorang juruteknik kanan, rebah tiba-tiba sekitar 7.05 malam, 10 minit sebelum perlawanan persahabatan anjuran syarikatnya di Bukit Chermin itu berakhir.
Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Alexandra pada 7.57 malam. Beliau meninggalkan seorang balu, Cik Masiah Joony, jurujual berusia 43 tahun, dan tiga anak perempuan berusia antara 14 dengan 19 tahun.
Menurut keluarganya, Allahyarham bermain bola sepak di Bukit Chermin bersama rakan-rakan sekerjanya setiap hari Rabu. Beliau telah bermain bola sepak selama 24 tahun, terbukti dengan deretan pingat tersusun rapi di flatnya di Jurong West Street 61.
Semasa dihubungi semalam, Cik Masiah berkata tiada langsung tanda penyakit jantung dikesan pada diri Allahyarham.
'Beliau seorang yang sentiasa giat bersukan, suami yang penyayang, dan disukai sanak saudara,' kata Cik Masiah.
Anak Allahyarham, Nurul Aisyah Yussof, 15 tahun, berkata ayahnya pernah dirawat di hospital kerana penyakit batu karang tetapi setelah itu Allahyarham sentiasa kelihatan dalam keadaan sihat.
Penyakit jantung Allahyarham langsung di luar dugaan ahli keluarga dan rakan-rakan. Ia hanya diketahui apabila bedah siasat dijalankan.
Kali terakhir Nurul Aisyah bertemu ayahnya ialah pada awal pagi hari kejadian, ketika Allahyarham hendak pergi bekerja. Seperti biasa, Nurul Aisyah bersalam, memeluk dan mencium ayahnya.
'Bapa saya periang dan suka berjenaka. Beliau sering menasihati kami supaya belajar rajin-rajin dan beliau mahu kami hidup bahagia apabila tua nanti,' kata Nurul Aisyah.
Seorang rakan sekerja yang juga sahabat karib Allahyarham, yang tidak mahu namanya disiar, berkata: ' Kami semua amat terkejut apabila beliau tiba-tiba rebah. Beliau kelihatan sihat sahaja pada hari kejadian. Saya telah kehilangan seorang rakan karib yang amat saya hargai. Saya rindu akan jenaka-jenaka lucunya.'
Dear Nurulhuda Yussof,Labels: birthday, motivation, news